Perhubungan antara suami isteri mahupun pasangan kekasih pastinya menginginkan hubungan yang kekal lama. Kadangkala kelakuan anda bakal membuatkan pasangan anda berasa bosan dan rimas sehinggakan rasa sayang itu semakin berkurangan. Entri kali ini berkongsikan cara yang mungkin boleh anda cuba untuk mengeratkan lagi hubungan dan membuatkan si dia bertambah sayang.
BELAJAR MENDENGAR
Satu sifat wanita yang memang tidak digemari lelaki adalah kuat membebel. Cuba belajar mendengar dan kurangkan bebelan anda. Lelaki jarang mahu berkongsi masalah mereka dengan sesiapa dan sekiranya dia tiba-tiba mahu berbicara secara serius, beri perhatian kepadanya. Komen anda tidak diperlukan mereka, objektifnya adalah untuk meluahkan beban di dada yang boleh membuatkan mereka merasa sedikit lega.
BIARKANNYA SENDIRI
Kadangkala sekiranya seseorang lelaki itu mempunyai masalah atau tertekan dengan sesuatu, apa yang dimahukan adalah tenangkan diri dengan bersendirian. Berikannya ruang untuknya dan jangan menekannya dengan lebih banyak soalan kerana ini akan lebih menyerabutkan fikirannya. Sekiranya dia mahu bercerita kepada anda, dia akan lakukannya setelah dia bersedia. Wanita yang faham dengan situasi pasangannya dan bertindak dengan wajar adalah wanita yang disenangi dan disayangi.
TIDAK PERLU UCAP CINTA
Kadangkala, perkataan sahaja tidak cukup untuk menyatakan cinta. Tunjukkan rasa sayang anda kepadanya di hadapannya dan juga rakan-rakannya. Hantarkan pizza ke rumahnya sewaktu dia dan rakan-rakan sedang menonton perlawanan bola sepak. Sekali-sekala anda boleh menunjukkan rasa cemburu sekiranya dia terlalu baik dengan rakan wanitanya. Buat si dia rasa bangga dengan orang sekeliling kerana cara anda melayannya. Cara berlainan untuk menyatakan rasa cinta anda boleh menambahkan rasa sayangnya terhadap diri anda.